Thursday, February 5, 2009

KENYATAAN MEDIA - RESPON PKPIM TERHADAP KENYATAAN GPMS - 5 FEBRUARI 2009

KENYATAAN MEDIA
RESPON PKPIM TERHADAP KENYATAAN GPMS
5 FEBRUARI 2009

Jawatankuasa Pendidikan dan Penyelidikan, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) melahirkan rasa kecewa terhadap kenyataan rasmi Presiden GPMS, Dato’ Reezal Merican Naina Merican yang bertajuk “Isu PPSMI: GPMS Tolak Bawa Isu Pendidikan ke Jalanan” yang merujuk kepada Pelancaran Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) pada 31 haribulan lalu.

Kenyataan tersebut menggambarkan ketidakprihatinan GPMS terhadap perkembangan isu PPSMI, baik yang melibatkan gelombang penentangan mahupun sikap tidak acuh dan terusan bertahan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Beliau menyebut bahawa “mengumpulkan khalayak, khusus dalam menyatakan rasa tidak puas hati dengan isu PPSMI adalah suatu yang tidak wajar dan mungkin mengundang pelbagai polemik yang lain" adalah pandangan yang kurang berhikmah dan tidak mesra sejarah.

Setelah sekian banyak hasil-hasil kajian, forum dan persidangan yang bersifat ilmiah, memorandum dan nota bantahan yang dipanjangkan kepada pihak yang berwajib tidak mendapat respon yang memberangsangkan malah ada yang dibakulsampahkan, apakah sangat menguntungkan sekiranya kita masih lagi berdiam dan berpeluk tubuh?

Apakah berhikamah sekiranya di tengah-tengah medan perang masih lagi tunduk dan tawadu’, berbicara secara bermadah dengan harapan mampu melembutkan hati pihak lawan?

Kami ingin menegaskan pendirian kami bahawa dalam suasana semasa yang mendambakan tindakan yang lebih radikal, penentangan menerusi gerakan ilmiah di satu sisi tidak lagi relevan dan dianggap kurang berkesan. Perkara tersebut telah kami persetujui bersama dalam mesyuarat Kumpulan Prihatin yang turut menampilkan tokoh-tokoh bahasa dan sejarawan besar negara seperti Profesor Emeratus Dato’ Abu Bakar Hamid, Profesor Emeratus Abdullah Hassan, dan Datuk Bahaharudin Zain serta lain-lain.

Kami meraikan pandangan GPMS agar menjurus kepada gerakan berbentuk akademik. Justeru, partisipasi aktif dalam diskusi bersama para ilmuan dan persidangan meja bulat yang dianjurkan KPM jelas mengambarkan komitmen dan prinsip kami yang tidak akan sama sekali berkompromi terhadap usaha membelakangi peranan ilmu yang menjadi teras dalam menjawab secara tuntas segala permasalahan dan merungkai segala kerumitan rakyat.

Namun, kami turut berpegang kepada prinsip hikmah seperti mana yang terkandung dalam surah al-Nahl ayat 125 yang bermaksud, “serulah kepada jalan Tuhanmu (kebenaran) dengan hikmah dan nasihat yang baik-baik, bertukar fikiranlah dengan cara yang lebih baik, sesungguhnya Tuhanmu lebih mengetahui sesiapa yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah yang mengetahui siapa yang terpimpin”

Mohammad Natsir dalam bukunya Fiqhud Da’wah, menguraikan hikmah sebagai mengenal golongan yakni memastikan cara yang tepat dan efektif dalam menghadapi golongan tertentu dalam suasana tertentu selain berkemampuan menggerakkan sesuatu tindakan yang bermanfaat.

Selain itu, Sheikh Muahammad Abduh dalam Tafsir Al-Manar, menta’rifkan hikmah sebagai, “ilmu yang sahih (benar dan sihat) yang menggerakkan kemahuan untuk melakukan sesuatu perbuatan yang bermanfaat”.

Justeru, dalam konteks gerakan jalanan atau kata lainnya demonstrasi yang sering disalahertikan sebahagian besar masyarakat, kami merasakan bahawa terdapat keperluan yang mendesak dan ia merupakan strategi dan taktik terbaik dalam usaha mengenengah dan merakyatkan isu PPSMI ini.

Perhimpunan raksasa yang dirancang bukan bertujuan menghina atau mejatuhkan mana-mana pihak, tetapi sebagai tanda protes rakyat terhadap kecelaruan dasar yang sedia ada. Kebebasan rakyat untuk berkumpul, mengkritik (hurriyat al-mu’aradah) dan menyatakan pandangan (hurriyat al-ra’y) tidak harus dinafikan seperti yang disebut Hashim Kamali dalam bukunya Freedom of Expression in Islam.

Selain itu, tindakan yang agak kasar dan keras seperti ini seharusnya dilihat dari aspek yang positif. Bak kata pepatah “sayangkan isteri tinggal-tinggalkan, sayangkan anak tangan-tangankan”. Dalam isu ini, kerajaan perlu juga sekali sekala ditangan-tangankan agar mereka sedar dari lamunan. Mengejut mereka yang ketiduran dengan seribu satu kekerasan ketika api sedang marak membakar adalah lebih baik dari kita rentung bersama di dalamnya.

Oleh itu, setelah memperincikan setiap perkara, atas paksi kebenaran dan prinsip hikmah, tanpa terikat dengan mana-mana sentimen politik kepartian, kami secara terbuka menyokong tindakan Dato’ Dr Hassan Ahmad selaku Pengerusi GMP dan seluruh jentera mahasiswa dan rakyat yang berkesedaran untuk menghimpunkan jutaan rakyat dalam satu perhimpunan raksasa pada 7 Mac hadapan.

Justeru, kami menyeru kepada seluruh masyarakat, para ibu bapa, guru-guru, mahasiswa dan pimpinan Badan Bukan Kerajaan (BBK) dan parti-paarti politik serta yang terutama para pejuang bahasa di seluruh negara agar dapat berkumpul bersama menyatakan bantahan terhadap PPSMI.

Kami juga berharap agar semua pihak lebih matang, terbuka, dan berhikmah dalam menangani isu PPSMI ini. Komitmen dan kesungguhan semua harap dapat dikekal dan ditingkatkan agar tidak sekadar hangat-hangat tahi ayam.


“Pupus Bahasa, Pupuslah Bangsa”


ABU QASSIM NOR AZMI Exco Pendidikan dan Penyelidikan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Sekretariat PKPIM Pusat Anjung Rahmat Batu 6,
Jalan Gombak
53100
Kuala Lumpur
MALAYSIA
H+6019-3565805
T+603-6187 9520
F+603-6184 2570
W+www.pkpim.net
E+info@pkpim.net

No comments:

Post a Comment