Saturday, January 31, 2009

Sekitar Majlis Pelancaran GMP

Sebentar tadi Majlis Pelancaran Gerakan Mansuhkan PPSMI berjalan dengan jayanya di kompleks membeli-belah, Sogo. Majlis Pelancaran dirasmikan oleh Pengerusi GMP sendiri iaitu Dato' Dr. Hassan Ahmad dan turut hadir bersama adalah tokoh-tokoh seperti Prof. Dr. Shahrir Md. Zain, Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan, Prof. Dr. Awang Sariyan, A. Samad Said (Sasterawan Negara), Dato' Dr. Anuar Ridzuan, Puan Ainon Mohd dan ramai lagi.

Wakil-wakil badan bukan kerajaan (BBK) juga turut memberikan sokongan padu kepada GMP dan hadir bersama sepanjang majlis pelancaran berlangsung. Walaupun keadaan cuaca hujan renyai namun tidak mematahkan semangat orang ramai untuk hadir dan memberi sokongan kepada GMP. Tidak ketinggalan juga beberapa tokoh politik yang turut hadir untuk memberi sokongan.

Majlis dimulakan awal sekitar 2:45 petang dan keadaan pada ketika itu sudah sesak kerana orang ramai ingin tahu apa yang sedang terjadi. Dato' Dr. Hassan Ahmad memulakan ucapan beliau dan di ikuti oleh Sdr. Suhaizan. Prof Dr Shahrir Md. Zain pula mengakhiri majlis dengan beberapa ucapan sebelum pihak polis meminta bersurai.

Mengakui dengan kehendak polis, maka Dato' Dr. Hassan Ahmad memohon agar orang ramai bersurai dan melakukan perkara seperti biasa. Kemudian Puan Ainon Mohd menjemput kesemua tokoh-tokoh bahasa dan pejuang untuk minum di hadapan pintu masuk utama Sogo.

Namun orang ramai tetap tidak mahu bersurai malah semakin rapat dengan tokoh-tokoh yang hadir.

Majlis bersurai apabila Dato' Dr. Hassan Ahmad pulang sekitar jam 4:50 petang.

Mereka yang turut hadir adalah seperti:

Prof. Dr. Hashimah (UKM)
Prof. Dr. Tajul Ariffin (UKM)
Prof. Dr. Noriah MOhamad (UKM)
Prof. Dr. Zaharani (UKM)
Prof. Madya Dr. Fauzan (UIA)

Kenyataan Media Dato' Dr Hassan Ahmad Pengerusi GMP







(SILA KLIK UNTUK MELIHAT DENGAN LEBIH JELAS)

Friday, January 30, 2009

Pelancaran Mansuhkan PPSMI, esok! - Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 30 Jan (Hrkh) - Gerakkan Memansuh Pengajaran dan Pembelajaran Sains & Matematik Dalam Bahasa Inggeris(PPSMI) atau ringkasnya GMP akan mengadakan pelancarannya esok (31 Januari ) jam 3 petang di Pusat Perniagaan SOGO, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Setiausaha GMP Hasni Abas berkata keputusan perlancaran ini telah diputuskan pada mesyuarat Badan Induk GMP pada 20 Januari lalu yang dipengerusikan oleh Dato Dr Hassan Ahmad yang juga Pengerusi GMP.

Perlancaran ini akan dipimpin oleh Pengerusi GMP sendiri yang juga bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka malah bakal hadir adalah pejuang-pejuang bahasa, pimpinan politik dan dari pelbagai NGO.

"Semua mereka yang menyokong perjuangan GMP dijemput hadir khususnya yang tinggal di Selangor dan Kuala Lumpur," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan. - azm -

Harakahdaily
Fri | Jan 30, 09 | 1:15:51 pm MYT

Sumber: http://harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=19095&Itemid=1

Himpunan bantah PPSMI di Sogo esok- Malaysiakini

Himpunan bantah PPSMI di Sogo esok
Jimadie Shah Othman | Jan 30, 09 11:13am
Kira-kira 500 pencinta bahasa dijangka memenuhi ruang depan kompleks membeli-belah Sogo membantah pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Ingeris (PPSMI) esok.

Beberapa tokoh utama bahasa seperti bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Hassan Ahmad, penyair Dinsman, bekas profesor bahasa Dr Abdullah Hassan dan penulis Ainon Mohd akan turut serta.

Keempat-empat mereka menganggotai jawatankuasa Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP), penganjur tunjuk perasaan itu yang dinamakan majlis pelancancaran perhimpunan besar 100,000 rakyat.

Setiausaha GMP Hasni Abas memberitahu Malaysiakini, tokoh-tokoh itu akan berucap menolak PPSMI dan program ringkas ini yang bermula jam 3 petang diakhiri dengan acara pelancaran oleh Dr Hassan sebagai pengerusi jawatankuasa induk GMP.

GMP merancang menganjurkan perhimpunan besar-besaran awal Mac ini - ala demonstrasi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) pada 2007 - untuk menyerahkan memorandum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Majlis pelancaran itu yang turut disertai beberapa ahli politik PKR dan PAS akan dimeriahkan dengan bacaan sajak bertemakan perjuangan bahasa.

Hasni, juga presiden Kesatuan Pekerja-pekerja DBP berkata, sebanyak 2,000 risalah menentang PPSMI akan turut diedarkan kepada orang ramai di sekitar kompleks tersebut.

Mengulas sebab Sogo dipilih sebagai tapak pelancaran perhimpunan GMP dua bulan lagi, beliau berkata:

"Tempat itu ramai orang. Perjuangan kita perjuangan rakyat. Kita kena pergi kepada rakyat."

Katanya, majlis pelancaran itu tetap dilangsungkan walaupun tanpa permit polis.

"Polis kena lebih faham. Kita pun warganegara juga yang ada hak (berhimpun)," katanya.

Ahad ini, PAS yang bergabung dalam GMP akan mengadakan ceramah berhubung isu PPSMI di Markaz Tarbiyyah, Gombak.

Thursday, January 29, 2009

Pelancaran Gerakan Mansuhkan PPSMI


Mari kita jayakan pelancaran Gerakan Memansuh Pengajaran & Pembelajaran Sains & Matematik dalam Bahasa Inggeris (GMP) yang akan di adakan seperti berikut :


1. Tarikh : Sabtu 31.1.09
2. Tempat : Sogo, Kuala Lumpur
3. Masa : 3:00 petang
4. Perasmi : Dato' Dr Hassan Ahmad, Pengerusi GMP (Bekas Ketua Pengarah DBP)
5. Tetamu : Semua badan gabungan GMP daripada NGOs, Parti Politik & Pejuang-pejuang bahasa.

Matlamat GMP adalah untuk mengadakan Himpunan 100 Ribu Di Istana Negara pada 7 Mac 2009 - Sabtu. Semua dijemput hadir.

Wednesday, January 28, 2009

KENYATAAN MEDIA GMP

KENYATAAN MEDIA
GERAKAN MANSUHKAN PPSMI (GMP)
28 JANUARI 2009

Gerakan Mansuhkan Pengajaran & Pembelajaran Sains & Matematik Dalam Bahasa Inggeris(PPSMI) atau ringkasnya GMP akan mengadakan pelancarannya pada hari Sabtu 31.01.09, jam 3 petang di Pusat Perniagaan SOGO, Jalan Tengku Abd Rahman, Kuala Lumpur. Keputusan perlancaran ini telah diputuskan pada mesyuarat Badan Induk GMP pada 20.01.09 yang dipengerusikan oleh Dato’ Dr Hassan Ahmad yang juga Pengerusi GMP. Pelancaran ini akan dipimpin oleh Pengerusi GMP yang juga bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Bakal turut hadir adalah pejuang-pejuang bahasa, pimpinan politik dan badan bukan kerajaan. Semua mereka yang menyokong perjuangan GMP dijemput hadir khususnya yang tinggal di Selangor dan Kuala Lumpur.

Perlancaran ini adalah aktiviti pertama GMP yang dibuat secara terbuka. Selepas ini road-show ke negeri-negeri akan dilaksanakan pada bulan Februari 2009. Mesyuarat bersama pengerak-pengerak diperingkat negeri akan di adakan pada hari jumaat 30.01.2009 di Kuala Lumpur. Aktiviti ini diadakan adalah bertujuan untuk memberi kefahaman kepada masyarakat mengapa PPSMI mesti dimansuhkan seterusnya mengajak semua lapisan masyarakat bersama-sama dalam "Himpunan 100 Ribu" di Istana Negara pada sabtu 7hb Mac 2009.

Penyerahan memorandum pemansuhan PPSMI kepada semua ahli Parlimen Malaysia akan diadakan pada selasa 17hb Februari 2009 di hadapan Parlimen. Sebelum ini GMP pernah menyerahkan memorandum pemansuhan PPSMI kepada Pakatan Rakyat (PR) di Kuala Terengganu. Usaha untuk menyerahkan memorandum kepada Barisan Nasional(BN) gagal kerana tidak diberi ruang oleh pimpinan BN. Memorandum ini adalah salah satu usaha pihak GMP untuk mendesak pihak kerajaan dan pembangkang memperdebatkan isu ini dalam parlimen dalam waktu yang terdekat. Pemansuhan dasar PPSMI perlu dilaksanakan dengan segera sebelum terlambat. Jika tidak, generasi muda khususnya di luar bandar bakal berdepan dengan pelbagai masalah pada masa akan datang.

Hasni Bin Abas
Setiausaha
Badan Induk Gerakkan Memansuh PPSMI (GMP)
012-2612316

* * Hasni Bin Abas juga merupakan Pengerusi Kesatuan Sekerja Dewan Bahasa & Pustaka

Mesyuarat Badan Induk Pertama

Mesyuarat Badan Induk Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) telah bersetuju untuk mengadakan himpunan 100 Ribu Mansuh PPSMI pada 7Hb Mac 2009 di Istana Negara. Perlaksanaan himpunan ini akan di laksanakan oleh Jawatankuasa Perlaksana yang di pimpin oleh Sdr. Hasni Abas. Mesyuarat badan induk ini telah dihadiri oleh wakil-wakil Badan Bukan Kerajaan (BBK), parti politik dan pejuang-pejuang bahasa. Antaranya adalah Datuk Dr. Hassan Ahmad, A. Samad Said, Dr. Shahrir Md. Zain, Prof Emeritus Dr. Abdullah Hassan, Puan Ainon Mohd, YB. Nasaruddin Mat Isa dan ramai lagi. Pada 31hb Januari 2009, Pelancaran GMP akan di adakan peringkat nasional bertempat di Sogo, Kuala Lumpur bermula jam 3:00 petang. Pelancaran diperingkat negeri-negeri akan di adakan serentak seluruh negara.



(Gambar diambil sewaktu Mesyuarat Badan Induk Pertama di SUK Selangor)

Sah, Dr Hassan Ketuai Bantahan PPSMI - Malaysiakini

Bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Hassan Ahmad secara rasmi memimpin Sekretariat Selamatkan Bahasa Melayu yang kini dikenali sebagai Gabungan Mansuhkan PPSMI - yang mengancam mengadakan perhimpunan besar ala-Bersih - bagi membantah pelaksanaan dasar pengajaran dan pembelajaraan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Pengerusi Jawankuasa Pelaksana program berkenaan, Hasni Abas berkata, Dr Hassan akan bertindak sebagai pengerusi jawatankuasa induk gabungan itu.

Menurutnya lagi, persetujuan itu dicapai dalam pertemuan beliau - yang mengetuai sembilan lagi wakil NGO dan sayap Pemuda parti pembangkang yang bergabung dalam GMP - dengan bekas ketua pengarah DBP itu di Yayasan Karyawan di Damansara tengahari tadi.

dr hassan ahmad and gmp 100 thousand protest anti english language 080109Isnin lalu, Dr Hassan dilaporkan menyatakan kesediaanya untuk memimpin gabungan itu bagi membantah pelaksanaan PPSMI.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Hasni berkata, mesyuaratnya dengan Dr Hassan juga memutuskan untuk melantik sembilan tokoh politik dan bahasa berprofil tinggi bagi mengganggotai jawatankuasa induk itu.

Mereka termasuk Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Md Isa; bekas ketua pengarahDBP, Datuk Aziz Deraman; tokoh sastera Datuk Dr Anwar Ridwan dan penyair terkenal, Dinsman.

Ditanya tentang tugas pertama Dr Hassan, Hasni berkata: "Panggil mesyuarat jawatankuasa induk."

Perarakan keranda

Jawatankuasa induk yang dibentuk itu merupakan badan utama pembuat keputusan dalam GMP; manakala jawatankuasa pelaksana bertindak menggerakkannnya di peringkat bawah.

Hasni yang juga pengerusi Kesatuan Pekerja DBP berkata, jumlah ahli jawatankuasa induk mungkin ditambah daripada masa ke semasa, mengikut keperluannya.

Beliau sebagai pengarah jawatankuasa pelaksana, secara automatik bertindak sebagai setiausaha GMP.

Selain itu, jawatankuasa pelaksana GMP akan bermesyuarat malam ini bagi membincangkan gerak kerja lanjut bagi menjayakan perhimpuna besar yang dijadual Mac depan.

Selain perhimpunan ala-Bersih (Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil ) Mac depan, kerajaan juga mungkin berdepan dengan satu "perarakan keranda" Februari ini berhubung isu PPSMI oleh sebuah lagi badan bahasa, Gabungan Penulis Nasional (Gapena).

Perarakan sambil mengusung keranda sebagai simbol kematian bahasa Melayu - dinamakan Keranda 152 - akan menjadi sebuah lagi tindakan, selain tindakan mahkamah, selepas tuntutan mereka supaya kerajaan memansuhkan PPSMI tidak diendahkan.

Selain NGO Melayu, persatuan pendidikan Cina turut membantah pelaksanaan dasar itu.

Lapan NGO itu, yang diketuai Dong Jiou Zong hari ini memberikan tarikh akhir kepada kerajaan sehingga Mac ini untuk membuat keputusan atau turut menghadapi siri-siri bantahan mereka.

Sumber: Malaysiakini http://www.malaysiakini.com/news/96056

Laman Rasmi Gerakan Manushkan PPSMI (GMP)

Assalammualaikum dan salam sejahtera.

Blog ini merupakan laman rasmi bagi Gerakan Mansuhkan PPPSMI (GMP).

Sebarang pertanyaan dan persoalan boleh menghubungi terus Pengarah Jawatankuasa Pelaksana Sdr. Hasni Abas 012-2612316, Timbalan Pengarah Sdr. Suhaizan Kaiat 019-7285174 atau Setiausaha Sdr. Saifullah Zulkifli 013-3005461.