Showing posts with label Laporan Akhbar. Show all posts
Showing posts with label Laporan Akhbar. Show all posts

Thursday, February 19, 2009

Kandungan Laporan Polis PKPIM terhadap dasar PPSMI


Boleh digunapakai oleh mana-mana pertubuhan yang mahu membuat laporan polis.



LAPORAN POLIS TERHADAP KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA BERHUBUNG ISU PPSMI


Balai Polis : Gombak
Daerah : Gombak
Kontinjen : Selangor 
No Repot : Gombak/001215/09
Waktu : 1.54 Petang

Saya bersama seluruh ahli dan pimpinan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) membuat bantahan terhadap Kementerian Pelajaran Malaysia kerana meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah-sekolah Rendah dan Menengah di seluruh negeri-negeri di Malaysia.

Sebab-sebab bantahan kami adalah:

1. Pelaksanaan PPSMI adalah tidak sah di sisi undang-undang kerana bertentangan dengan Seksyen 2 dan Seksyen 17(1) Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) dan bercanggah dengan kehendak dan tujuan Perkara 152(1) dan 152(6) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Seksyen 2 Akta Pendidikan, Sekolah Kebangsaan ditafsirkan sebagai sekolah rendah kerajaan atau sekolah rendah bantuan kerajaan yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama. Manakala, Sekolah Menengah Kebangsaan pula ditakrifkan sebagai sekolah menengah kerajaan atau sekolah menengah bantuan kerajaan yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama.

Seksyen 17(1) Akta Pendidikan memperuntukkan bahawa Bahasa Kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali sekolah-sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah Seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan daripada sub seksyen ini.

Manakala Perkara 152(1) memperuntukkan bahawa Bahasa Kebangsaan ialah Bahasa Melayu dan diperuntukkan melalui undang-undang bahawa tiada siapa boleh dilarang atau dihalang menggunakan (selain bagi maksud rasmi) atau daripada mengajarkan atau belajar apa-apa bahasa lain. Perkara 152(6) pula memperuntukkan bahawa perkara-perkara pendidikan negara, mata pelajaran utama dalam kurikulum kebangsaan yang diuruskan oleh Kementerian Pelajaran adalah bagi maksud rasmi.

2. Pelaksanaan PPSMI ini akan membunuh Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu dalam jangka masa yang panjang.

3. Pelaksanaan PPSMI telah menggelapkan masa depan pelajar sekolah luar bandar dalam bidang sains dan teknologi.

4. Kita menyokong sekuatnya pengajaran bahasa Inggeris sebagai suatu bahasa, tetapi tidak melalui mata pelajaran sains dan matematik.



Bertarikh : 18 Februari 2009


_______________________
Muhammad Faisal Abdul Aziz
Naib Presiden,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Tuesday, February 3, 2009

A Samad Said angkat sepanduk 'Jangan bunuh bahasa ibunda'

KUALA LUMPUR, 1 Feb (Hrkh) - Selain kehadiran pejuang bahasa dan lebih 500 orang dalam program pelancaran Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) petang semalam di Sogo dekat sini, kedatangan Sasterawan Negara, Dato' A Samad Said mencuri perhatian ramai akhirnya muncul buat pertama kali dalam program sebegitu.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan sebarang kenyataan kepada media, sebaliknya hanya bergambar sambil memegang sepanduk kecil bertulis "Jangan bunuh bahasa ibunda".

Beberapa tokoh utama bahasa seperti Prof. Awang Sariyan, Dato' Dr Anwar Ridhuan,penyair Dinsman, Profesor Bahasa Melayu di UPSI Dr Abdullah Hassan dan bekas profesor falsafah sains Dr Shahrir Md Zain, Hasni Abas serta penulis Ainon Mohd turut serta seperti dijadualkan. Image

Penyair popular Pyanhabib, ahli jawantkuasa Persatuan Penulis Nasional (Pena) Ibrahim Ghaffar dan aktivis popular teater Khalid Salleh turut hadir.

Bercakap kepada Malaysiakini selepas acara pelancaran itu, Khalid berkata hari ini ramai aktivis bahasa yang tidak pernah muncul dalam program seumpama itu tampil buat kali pertama menyatakan bantahan mereka kerana keadaan "sudah terdesak sangat".

Tambahnya, bukan sahaja bahasa, tetapi dalam pelbagai segi hak-hak orang ImageMelayu mulai terhakis.

Khalid mendakwa selama tujuh tahun apabila PPSMI diperkenalkan, orang tidak turun memprotes kerana "orang tidak ada asas budaya dan bahasa".

Pemimpin politik yang kelihatan termasuklah Ketua Penerangan KeADILan Tian Chua, Ketua Pemudanya Shamsul Iskandar Md Akin dan Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamad.

Majlis bermula kira-kira 2.45 petang, kira-kira 15 minit lebih awal daripada yang dijadualkan. Image

Pengerusi jawatankuasa induk GMP Dato' Dr Hassan Ahmad memberikan ucapan ringkas kira-kira lima limit sebelum melancarkan kempen berkenaan.

Dalam masa yang sama, kita-kira 30 polis berpakaian seragam cuba menyuraikan keadaan dan orang ramai dan wartawan mula bersurai kira-kira 4.30 petang.

Majlis pelancaran ini diadakan dalam rangka GMP menganjurkan perhimpunan besar-besaran 7 Mac ini - ala demonstrasi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) pada 2007 - untuk menyerahkan memorandum isu PPSMI kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. - azm_

Harakahdaily | Foto Nasir Sudin Sun | Feb 01, 09 | 11:01:42 am MYT Sumber: http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=19119&Itemid=1http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=19119&Itemid=1

Aktivis Tamil, Cina sertai bantah PPSMI - Malaysiakini

Bukan sahaja pejuang bahasa Melayu membantah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), sebaliknya pejuang bahasa-bahasa lain juga turut menentangnya.

Yayasan Tamil Malaysia yang hadir dalam perhimpunan pelancaran kempen memansuhkan dasar kontroversi itu di ibu kota hari ini berkata, PPSMI yang diperkenalkan itu tidak menguntungkan kaum India.

"Dasar ini tidak bagus untuk kaum India. Seramai 60 peratus kaum India bersekolah di sekolah-sekolah Tamil, 90 peratus daripada mereka ini tinggal di luar dan pinggir bandar.

"Dasar ini (PPSMI) hanya disokong oleh segelintir kelompok yang menggunakan bahasa Inggeris sahaja," kata presidennya K Uthayasoorian selepas perlancaran program anti-PPSMI itu.

gmp protest 310108 crowdGerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) petang ini memulakan gerakan bantahan jalanan di hadapan pusat membeli-belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman - lokasi lazim gerakan bantahan era reformasi 1998.

Ia dihadiri pelbagai tokoh bahasa dan sastera Melayu, termasukkah bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Hassan Ahmad, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan profesor bahasa Dr Abdullah Hassan.

Ditemui Malaysiakini, Uthayasoorian berkata, bukan sahaja pelajar, malah guru-guru juga tidak bersedia dengan kaedah pengajaran itu.

Beliau yang mendakwa kehadirannya bagi menuntut hak daripada kerajaan, berkata, Yayasan Tamil juga datang untuk berunding dengan GMP bagi memikirkan strategi bersama menuntut pemansuhan PPSMI.

Beliau tidak menyangkal kemungkinan akan turut menyertai gabungan itu.

Sementara itu, aktivis Dong Zhong menempelak kerajaan yang tidak mempedulikan bantahan orang ramai yang dibuat dengan pelbagai cara.

"Dong Zhong sudah cetak dan hantar lebih 100,000 poskad kepada kerajaan pada tahun lepas berhubung perkara ini, tetapi tidak ada apa yang berlaku pun," kata wakilnya Chan Tuck Loong.

Ditanya sama ada Dong Zhong akan memberikan sokongan terhadap protes besar-besaran yang dirancang GMP pada awal Mac ini di hadapan Istana Negara, Chan berkata, pihaknya menyokong semua program yang bagi mengembalikan penggunaan bahasa ibunda dalam proses pembelajaran di sekolah.

Bagaimanapun, katanya, bentuk penyertaan lanjut Dong Zhong bersama GMP akan diputuskan pihak atasan organisasi itu.

Aktivis teater dan pelakon terkenal Khalid Salleh memberitahu Malaysiakini, hari ini ramai aktivis bahasa yang tidak pernah muncul dalam program seumpama itu tampil buat kali pertama menyatakan protesnya kerana keadaan "sudah terdesak sangat".

Katanya, bukan sahaja bahasa, tetapi dalam pelbagai segi hak-hak orang Melayu mulai terhakis.

"Kalau tengok dalam kad pengenalan pun, tidak ada tulis Melayu, yang ada warganegara Malaysia....

"Berapa tahun Malaysia wujud? 51 tahun. Tetapi bangsa Melayu dan bahasa Melayu sudah ada ratusan tahun sebelum itu."

Khalid mendakwa selama tujuh tahun apabila PPSMI diperkenalkan, orang tidak turun memprotes kerana "orang tidak ada asas budaya dan bahasa".

Kerana itu, katanya, pemain teater sepertinya perlu menyuarakan perkara itu dalam karya masing-masing seperti yang dilakukannya sejak tahun 1970-an lagi.

Pada 7 Mac ini, GMP merancang mengadakan perhimpunan besar ala Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) untuk menyerahkan memorandum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi memohon campur tangan baginda berhubung perkata itu.

Jimadie Shah Othman | Jan 31, 09 9:16pm

Sumber: Malaysiakini http://www.malaysiakini.com/news/97351