Showing posts with label Pelancaran GMP. Show all posts
Showing posts with label Pelancaran GMP. Show all posts

Tuesday, February 3, 2009

A Samad Said angkat sepanduk 'Jangan bunuh bahasa ibunda'

KUALA LUMPUR, 1 Feb (Hrkh) - Selain kehadiran pejuang bahasa dan lebih 500 orang dalam program pelancaran Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) petang semalam di Sogo dekat sini, kedatangan Sasterawan Negara, Dato' A Samad Said mencuri perhatian ramai akhirnya muncul buat pertama kali dalam program sebegitu.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan sebarang kenyataan kepada media, sebaliknya hanya bergambar sambil memegang sepanduk kecil bertulis "Jangan bunuh bahasa ibunda".

Beberapa tokoh utama bahasa seperti Prof. Awang Sariyan, Dato' Dr Anwar Ridhuan,penyair Dinsman, Profesor Bahasa Melayu di UPSI Dr Abdullah Hassan dan bekas profesor falsafah sains Dr Shahrir Md Zain, Hasni Abas serta penulis Ainon Mohd turut serta seperti dijadualkan. Image

Penyair popular Pyanhabib, ahli jawantkuasa Persatuan Penulis Nasional (Pena) Ibrahim Ghaffar dan aktivis popular teater Khalid Salleh turut hadir.

Bercakap kepada Malaysiakini selepas acara pelancaran itu, Khalid berkata hari ini ramai aktivis bahasa yang tidak pernah muncul dalam program seumpama itu tampil buat kali pertama menyatakan bantahan mereka kerana keadaan "sudah terdesak sangat".

Tambahnya, bukan sahaja bahasa, tetapi dalam pelbagai segi hak-hak orang ImageMelayu mulai terhakis.

Khalid mendakwa selama tujuh tahun apabila PPSMI diperkenalkan, orang tidak turun memprotes kerana "orang tidak ada asas budaya dan bahasa".

Pemimpin politik yang kelihatan termasuklah Ketua Penerangan KeADILan Tian Chua, Ketua Pemudanya Shamsul Iskandar Md Akin dan Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamad.

Majlis bermula kira-kira 2.45 petang, kira-kira 15 minit lebih awal daripada yang dijadualkan. Image

Pengerusi jawatankuasa induk GMP Dato' Dr Hassan Ahmad memberikan ucapan ringkas kira-kira lima limit sebelum melancarkan kempen berkenaan.

Dalam masa yang sama, kita-kira 30 polis berpakaian seragam cuba menyuraikan keadaan dan orang ramai dan wartawan mula bersurai kira-kira 4.30 petang.

Majlis pelancaran ini diadakan dalam rangka GMP menganjurkan perhimpunan besar-besaran 7 Mac ini - ala demonstrasi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) pada 2007 - untuk menyerahkan memorandum isu PPSMI kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. - azm_

Harakahdaily | Foto Nasir Sudin Sun | Feb 01, 09 | 11:01:42 am MYT Sumber: http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=19119&Itemid=1http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=19119&Itemid=1

Aktivis Tamil, Cina sertai bantah PPSMI - Malaysiakini

Bukan sahaja pejuang bahasa Melayu membantah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), sebaliknya pejuang bahasa-bahasa lain juga turut menentangnya.

Yayasan Tamil Malaysia yang hadir dalam perhimpunan pelancaran kempen memansuhkan dasar kontroversi itu di ibu kota hari ini berkata, PPSMI yang diperkenalkan itu tidak menguntungkan kaum India.

"Dasar ini tidak bagus untuk kaum India. Seramai 60 peratus kaum India bersekolah di sekolah-sekolah Tamil, 90 peratus daripada mereka ini tinggal di luar dan pinggir bandar.

"Dasar ini (PPSMI) hanya disokong oleh segelintir kelompok yang menggunakan bahasa Inggeris sahaja," kata presidennya K Uthayasoorian selepas perlancaran program anti-PPSMI itu.

gmp protest 310108 crowdGerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) petang ini memulakan gerakan bantahan jalanan di hadapan pusat membeli-belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman - lokasi lazim gerakan bantahan era reformasi 1998.

Ia dihadiri pelbagai tokoh bahasa dan sastera Melayu, termasukkah bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Hassan Ahmad, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan profesor bahasa Dr Abdullah Hassan.

Ditemui Malaysiakini, Uthayasoorian berkata, bukan sahaja pelajar, malah guru-guru juga tidak bersedia dengan kaedah pengajaran itu.

Beliau yang mendakwa kehadirannya bagi menuntut hak daripada kerajaan, berkata, Yayasan Tamil juga datang untuk berunding dengan GMP bagi memikirkan strategi bersama menuntut pemansuhan PPSMI.

Beliau tidak menyangkal kemungkinan akan turut menyertai gabungan itu.

Sementara itu, aktivis Dong Zhong menempelak kerajaan yang tidak mempedulikan bantahan orang ramai yang dibuat dengan pelbagai cara.

"Dong Zhong sudah cetak dan hantar lebih 100,000 poskad kepada kerajaan pada tahun lepas berhubung perkara ini, tetapi tidak ada apa yang berlaku pun," kata wakilnya Chan Tuck Loong.

Ditanya sama ada Dong Zhong akan memberikan sokongan terhadap protes besar-besaran yang dirancang GMP pada awal Mac ini di hadapan Istana Negara, Chan berkata, pihaknya menyokong semua program yang bagi mengembalikan penggunaan bahasa ibunda dalam proses pembelajaran di sekolah.

Bagaimanapun, katanya, bentuk penyertaan lanjut Dong Zhong bersama GMP akan diputuskan pihak atasan organisasi itu.

Aktivis teater dan pelakon terkenal Khalid Salleh memberitahu Malaysiakini, hari ini ramai aktivis bahasa yang tidak pernah muncul dalam program seumpama itu tampil buat kali pertama menyatakan protesnya kerana keadaan "sudah terdesak sangat".

Katanya, bukan sahaja bahasa, tetapi dalam pelbagai segi hak-hak orang Melayu mulai terhakis.

"Kalau tengok dalam kad pengenalan pun, tidak ada tulis Melayu, yang ada warganegara Malaysia....

"Berapa tahun Malaysia wujud? 51 tahun. Tetapi bangsa Melayu dan bahasa Melayu sudah ada ratusan tahun sebelum itu."

Khalid mendakwa selama tujuh tahun apabila PPSMI diperkenalkan, orang tidak turun memprotes kerana "orang tidak ada asas budaya dan bahasa".

Kerana itu, katanya, pemain teater sepertinya perlu menyuarakan perkara itu dalam karya masing-masing seperti yang dilakukannya sejak tahun 1970-an lagi.

Pada 7 Mac ini, GMP merancang mengadakan perhimpunan besar ala Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) untuk menyerahkan memorandum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi memohon campur tangan baginda berhubung perkata itu.

Jimadie Shah Othman | Jan 31, 09 9:16pm

Sumber: Malaysiakini http://www.malaysiakini.com/news/97351

Saturday, January 31, 2009

Sekitar Majlis Pelancaran GMP

Sebentar tadi Majlis Pelancaran Gerakan Mansuhkan PPSMI berjalan dengan jayanya di kompleks membeli-belah, Sogo. Majlis Pelancaran dirasmikan oleh Pengerusi GMP sendiri iaitu Dato' Dr. Hassan Ahmad dan turut hadir bersama adalah tokoh-tokoh seperti Prof. Dr. Shahrir Md. Zain, Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan, Prof. Dr. Awang Sariyan, A. Samad Said (Sasterawan Negara), Dato' Dr. Anuar Ridzuan, Puan Ainon Mohd dan ramai lagi.

Wakil-wakil badan bukan kerajaan (BBK) juga turut memberikan sokongan padu kepada GMP dan hadir bersama sepanjang majlis pelancaran berlangsung. Walaupun keadaan cuaca hujan renyai namun tidak mematahkan semangat orang ramai untuk hadir dan memberi sokongan kepada GMP. Tidak ketinggalan juga beberapa tokoh politik yang turut hadir untuk memberi sokongan.

Majlis dimulakan awal sekitar 2:45 petang dan keadaan pada ketika itu sudah sesak kerana orang ramai ingin tahu apa yang sedang terjadi. Dato' Dr. Hassan Ahmad memulakan ucapan beliau dan di ikuti oleh Sdr. Suhaizan. Prof Dr Shahrir Md. Zain pula mengakhiri majlis dengan beberapa ucapan sebelum pihak polis meminta bersurai.

Mengakui dengan kehendak polis, maka Dato' Dr. Hassan Ahmad memohon agar orang ramai bersurai dan melakukan perkara seperti biasa. Kemudian Puan Ainon Mohd menjemput kesemua tokoh-tokoh bahasa dan pejuang untuk minum di hadapan pintu masuk utama Sogo.

Namun orang ramai tetap tidak mahu bersurai malah semakin rapat dengan tokoh-tokoh yang hadir.

Majlis bersurai apabila Dato' Dr. Hassan Ahmad pulang sekitar jam 4:50 petang.

Mereka yang turut hadir adalah seperti:

Prof. Dr. Hashimah (UKM)
Prof. Dr. Tajul Ariffin (UKM)
Prof. Dr. Noriah MOhamad (UKM)
Prof. Dr. Zaharani (UKM)
Prof. Madya Dr. Fauzan (UIA)

Kenyataan Media Dato' Dr Hassan Ahmad Pengerusi GMP







(SILA KLIK UNTUK MELIHAT DENGAN LEBIH JELAS)

Friday, January 30, 2009

Pelancaran Mansuhkan PPSMI, esok! - Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 30 Jan (Hrkh) - Gerakkan Memansuh Pengajaran dan Pembelajaran Sains & Matematik Dalam Bahasa Inggeris(PPSMI) atau ringkasnya GMP akan mengadakan pelancarannya esok (31 Januari ) jam 3 petang di Pusat Perniagaan SOGO, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Setiausaha GMP Hasni Abas berkata keputusan perlancaran ini telah diputuskan pada mesyuarat Badan Induk GMP pada 20 Januari lalu yang dipengerusikan oleh Dato Dr Hassan Ahmad yang juga Pengerusi GMP.

Perlancaran ini akan dipimpin oleh Pengerusi GMP sendiri yang juga bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka malah bakal hadir adalah pejuang-pejuang bahasa, pimpinan politik dan dari pelbagai NGO.

"Semua mereka yang menyokong perjuangan GMP dijemput hadir khususnya yang tinggal di Selangor dan Kuala Lumpur," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan. - azm -

Harakahdaily
Fri | Jan 30, 09 | 1:15:51 pm MYT

Sumber: http://harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=19095&Itemid=1

Himpunan bantah PPSMI di Sogo esok- Malaysiakini

Himpunan bantah PPSMI di Sogo esok
Jimadie Shah Othman | Jan 30, 09 11:13am
Kira-kira 500 pencinta bahasa dijangka memenuhi ruang depan kompleks membeli-belah Sogo membantah pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Ingeris (PPSMI) esok.

Beberapa tokoh utama bahasa seperti bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Hassan Ahmad, penyair Dinsman, bekas profesor bahasa Dr Abdullah Hassan dan penulis Ainon Mohd akan turut serta.

Keempat-empat mereka menganggotai jawatankuasa Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP), penganjur tunjuk perasaan itu yang dinamakan majlis pelancancaran perhimpunan besar 100,000 rakyat.

Setiausaha GMP Hasni Abas memberitahu Malaysiakini, tokoh-tokoh itu akan berucap menolak PPSMI dan program ringkas ini yang bermula jam 3 petang diakhiri dengan acara pelancaran oleh Dr Hassan sebagai pengerusi jawatankuasa induk GMP.

GMP merancang menganjurkan perhimpunan besar-besaran awal Mac ini - ala demonstrasi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) pada 2007 - untuk menyerahkan memorandum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Majlis pelancaran itu yang turut disertai beberapa ahli politik PKR dan PAS akan dimeriahkan dengan bacaan sajak bertemakan perjuangan bahasa.

Hasni, juga presiden Kesatuan Pekerja-pekerja DBP berkata, sebanyak 2,000 risalah menentang PPSMI akan turut diedarkan kepada orang ramai di sekitar kompleks tersebut.

Mengulas sebab Sogo dipilih sebagai tapak pelancaran perhimpunan GMP dua bulan lagi, beliau berkata:

"Tempat itu ramai orang. Perjuangan kita perjuangan rakyat. Kita kena pergi kepada rakyat."

Katanya, majlis pelancaran itu tetap dilangsungkan walaupun tanpa permit polis.

"Polis kena lebih faham. Kita pun warganegara juga yang ada hak (berhimpun)," katanya.

Ahad ini, PAS yang bergabung dalam GMP akan mengadakan ceramah berhubung isu PPSMI di Markaz Tarbiyyah, Gombak.

Thursday, January 29, 2009

Pelancaran Gerakan Mansuhkan PPSMI


Mari kita jayakan pelancaran Gerakan Memansuh Pengajaran & Pembelajaran Sains & Matematik dalam Bahasa Inggeris (GMP) yang akan di adakan seperti berikut :


1. Tarikh : Sabtu 31.1.09
2. Tempat : Sogo, Kuala Lumpur
3. Masa : 3:00 petang
4. Perasmi : Dato' Dr Hassan Ahmad, Pengerusi GMP (Bekas Ketua Pengarah DBP)
5. Tetamu : Semua badan gabungan GMP daripada NGOs, Parti Politik & Pejuang-pejuang bahasa.

Matlamat GMP adalah untuk mengadakan Himpunan 100 Ribu Di Istana Negara pada 7 Mac 2009 - Sabtu. Semua dijemput hadir.